Nuffnang

Tuesday, March 13, 2012

Pembunuhan untuk hidup?

Pulau Mabul, Sabah
Susah untuk saya percaya kalau saya tidak melihat bukti bergambar. Saya tahu tentang perkara ini agak lama. Ketika itu, beberapa penyelam yang menyaksikan 'pembunuhan terancang' ini sebenarnya telah membuat 'bising' dengan beberapa pihak, yang berjanji untuk melakukan laporan penyiasatan dan mencari jawapan daripada pihak berwajib. Akhirnya, ia mati dalam senyap ... mati bagai sang jerung itu sendiri.
Anda mungkin tertanya, apa yang saya sedang mericau ni? Di pulau Mabul, jiran kepada pulau Sipadan di Sabah, adanya tempat jerung yang dibunuh  diproses. Berikut adalah petikan daripada e-mel saksi saya (diterjemah) ..."Saya jelas tidak tahu nama tempat ini .. hanya bahawa lokasinya adalah di Pulau Mabul dan ia di sebalik Home Stay. Rupa-rupanya, mereka membawa jerung beberapa kali seminggu .. kadang-kadang 20 - 40 ekor pada satu-satu masa. Bagaimanapun, mereka mengatakan bahawa ia ditangkap di perairan antarabangsa tetapi melihatkan bot-bot mereka atau layak dipanggil sampan ... secara logiknya, bot kecil macam tu mana la lepas nak ke laut dalam memancing kan? ".
Bagaimana ini boleh berlaku? Pulau Mabul adalah salah satu tempat yang popular bagi para penyelam untuk menginap, yang datang dari seluruh dunia untuk menziarahi Pulau Sipadan (tiada resort dibenarkan di atas  Pulau Sipadan), salah satu tapak warisan dunia. Selepas bertahun-tahun berjuang untuk mendapatkan Pulau  Sipadan di mahkamah antarabangsa, berebut dengan Indonesia, dan akhirnya Malaysia menang, kita  memaparkan adegan ini untuk pelawat antarabangsa kita?
Saya tak boleh berfikir sebab musabab bagi pembunuhan yang tidak masuk akal ini. Tidak kira di mana mereka ditangkap, kita mesti menghentikan pembunuhan ini jika kita mahu memelihara hidupan marin untuk anak-anak generasi akan datang. Ada sesetengah akan memberi alasan bahawa inilah cara orang asli tempatan mendapat pendapatan mereka. Mungkin benar ... tetapi agensi-agensi yang berkaitan harus mendidik mereka, atau lebih baik lagi melibatkan mereka dalam projek ternakan ikan laut. Malah, mereka boleh dilibatkan dalam industri pelancongan tempatan, seperti yang dilakukan di tempat lain di dunia.
Persoalan lain yang datang ke fikiran saya adalah levi yang dikenakan kepada setiap penyelam untuk menyelam di Pulau Sipadan. Mengapa levi dikutip tapi kemudahan asas tidak disediakan untuk pelawat? Bukan meminta  apa-apa yang mewah ... hanya membaiki jeti dan tandas, atau paling mewah pun beberapa pondok untuk  penyelam berehat apabila membuat 'surface interval' mereka. Saya sendiri pernah melihat seorang Mat Salleh yang kaki tersangkut apabila lantai papan jeti patah kerana reput. Akhir sekali ... saya meninggalkan anda dengan bukti fotografi mengapa saya rasa mual. Adakah anda juga rasa mual seperti saya?


No comments:

Post a Comment